Ketahui Cara Mengerjakan Solat Malam Sepertimana Yang Dilakukan Oleh Rasulullah SAW

Solat Tahajjud adalah solat malam yang dilaksanakan setelah bangun tidur, afdalnya dibuat secara bersendirian waktu selepas tengah malam. Solat sunat ini amat dituntut dan sangat baik dilakukan sebagai ibadah tambahan. Rasulullah SAW dan para sahabat tidak meninggalkan solat ini sepanjang hayat mereka.

Firman Allah SWT.:

“Dan pada sebahagian malam hari bersolat Tahajjudlah kamu sebagai suatu ibadat tambahan bagimu; Mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.”  (Surah Isra’; ayat 79)

Rasulullah SAW bersabda: “Kerjakanlah solat malam sebab itu adalah kebiasaan orang solihin sebelum kamu, juga suatu jalan untuk mendekatkan diri kepada Tuhanmu, juga sebagai penebus segala amalan buruk, pencegah dari perbuatan dosa dan dapat menghalangi penyakit dari badan.” (Riwayat Tirmizi dan Ahmad r.a.)

Tujuan Solat Tahajjud

  1. Sebagai petanda perhambaan kepada Allah SWT.
  2. Mendekatkan seorang hamba dengan Penciptanya
  3. Tanda kesyukuran manusia di atas nikmat kurniaan Allah SWT.
  4. Menguatkan jiwa dan ketaqwaan seseorang kepada Allah SWT.
  5. Mendapatkan ketenangan dalam menghadapi cabaran dan dugaan hidup.

Cara Mendirikan Solat Tahajjud

Solat Tahajjud dilakukan tiada had rakaatnya, mengikut kesanggupan dan kemampuan, dengan setiap dua rakaat satu salam. Jika dirasakan berat memadailah sekadar dua rakaat tetapi dilakukan secara berterusan setiap malam.

Rasulullah SAW telah bersabda, “Amalan yang disukai oleh Allah, adalah yang terus menerus (istiqamah) walaupun sedikit.” (Riwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Aisyah.)

1. Sebelum mengerjakan Solat Tahajjud baca doa berikut :

“Tiada Tuhan melainkan Dikau, Maha Suci Dikau! Daku memohon ampun kepada-Mu bagi dosa-dosaku dan daku memohon kepada-Mu akan Rahmat-Mu. Ya Allah! Tambahkanlah padaku ilmu dan janganlah Dikau pesongkan hatiku setelah Dikau berikan petunjuk. Dan berikanlah daku Rahmat-Mu; Sesungguhnya Dikaulah yang melimpahkan rahmat! Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkanku dan kepada-Nyalah tempatku kembali.”

2. Niat Solat Tahajjud:

(Ushalli sunnatat tahajjudi rak’ataini Lillahi ta’ala)

Daku bersolat Sunat Tahajjud dua rakaat, kerana Allah Ta’ala.

3. Bacaan Surah selepas Al-Fatihah:

a) Rakaat pertama: Ayat Al-Kursi (7 kali), Rakaat kedua: Surah Al-Ikhlas (11 kali)

Atau;

b) Rakaat pertama: Ayat Al-Kaafirun, Rakaat kedua: Surah Al-Ikhlas

Atau;

c) 10 Ayat Terakhir, Surah Al-Imran  (Rasulullah SAW sering membaca ini pada solat Tahajjud Baginda.)

4. Selepas membaca tasbih pada sujud kedua dalam rakaat terakhir, bacalah doa berikut 3 kali:

5. Selesai salam solat Tahajud, bacalah doa yang pernah dibaca oleh Rasulullah SAW ini:

Ya Allah! Bagi-Mu segala puji-pujian. Dikaulah pendiri langit dan bumi dan alam semesta serta segala isinya. Bagi-Mulah segala pujian, Dikau Penguasa langit dan bumi dan alam semesta serta segala isinya. Dan bagi-Mulah segala puji, Pemancar cahaya langit dan bumi dan alam semesta serta segala isinya.

Bagi-Mulah segala pujian, Dikaulah yang benar (Al-haq), janji-Mu adalah benar, firman-Mu adalah benar, perjumpaan dengan-Mu adalah benar, syurga itu benar dan neraka adalah benar. Nabi-nabi itu benar, Nabi Muhammad SAW adalah benar dan adanya hari Kiamat itu benar.

Ya Allah! Pada-Mulah daku menyerahkan diri, dengan-Mu daku beriman, kepada-Mu daku bertawakal, kepada-Mu daku kembali, dengan-Mu daku menghadapi musuh dan kepada-Mu daku berhukum. Ampunilah dosa kesalahanku yang telah lalu dan yang terkemudian, baik yang daku sembunyikan mahupun yang daku nyatakan, di mana Dikau lebih mengetahuinya. Dikau yang Maha Mendahului dan Maha Mengakhiri. Tiada Tuhan melainkan Dikau! Tiada padaku daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah!

Ya Allah! Berilah kami kebaikan di dunia dan kebajikan di akhirat dan peliharalah kami dari azab neraka.

Selawat Allah ke atas Penghulu kami Nabi Muhammad SAW dan ke atas keluarga serta para sahabat sekeliannya. Segala puji hanyalah untuk Allah; Tuhan Pemelihara seluruh alam.

Beberapa Sunnah Dalam Melaksanakan Solat Tahajjud

1. Niat Untuk Mengerjakan Solat Tahajjud Sebelum Tidur

Adalah disunatkan untuk tidur terlebih dahulu sebelum mengerjakan solat Tahajjud. Oleh itu bagi mereka yang hendak melaksanakan solat Tahajjud, hendaklah dia berniat sebelum tidur bahawa dia akan melaksanakan solat tersebut. Sekiranya seseorang itu telah berniat namun dia gagal untuk terjaga dari tidurnya bagi mengerjakan solat Tahajjud, maka Allah Subhanahu wa Ta’ala tetap akan mengurniakan pahala solat Tahajjud tersebut. Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

مَا مِنْ امْرِئٍ تَكُونُ لَهُ صَلاَةٌ بِلَيْلٍ فَغَلَبَهُ عَلَيْهَا نَوْمٌ إِلاَّ كَتَبَ اللَّهُ لَهُ أَجْرَ صَلاَتِهِ

وَكَانَ نَوْمُهُ صَدَقَةً عَلَيْهِ.

Maksudnya:

Sesiapa yang (berniat) akan mengerjakan solat malam, lalu tertidur, Allah pasti menulis untuknya pahala solat malam dan tidurnya merupakan sedekah untuknya. – Hadis riwayat Imam al-Nasa’i dalam Sunannya, Kitab Qiyam al-Lail, no: 1763.

2. Cara Untuk Menghilangkan Mengantuk

Apabila terjaga dari tidur untuk melaksanakan solat Tahajjud hendaklah berusaha untuk menghilangkan perasaan mengantuk dari wajah dengan bersugi atau menggosok gigi dan setelah itu mengucapkan zikir La ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu lahul mulku walahul hamdu wahuwa ‘ala kulli shayin qadir alhamdulillah wa subhanallah wa la ilaha illallah wallahu akbar wa la haulawala quwwata illa billahi. Allahummaghfirli. Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

مَنْ تَعَارَّ مِنْ اللَّيْلِ فَقَالَ: لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ.

لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ.

الْحَمْدُ لِلَّهِ وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ.

ثُمَّ قَالَ: “اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي” أَوْ دَعَا اسْتُجِيبَ لَهُ فَإِنْ تَوَضَّأَ وَصَلَّى قُبِلَتْ صَلاَتُهُ.

Maksudnya:

Barangsiapa terbangun pada malam hari lalu mengucapkan: Tidak ada Tuhan yang disembah kecuali Allah semata, tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya kerajaan dan untuk-Nya segala pujian, dan Dia berkuasa atas segala sesuatu. Segala puji bagi Allah, Maha Suci Allah, Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, Allah Maha Besar. Dan tidak ada daya serta kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah. Kemudian diucapkan: “Ya Allah ampunilah aku” atau dia berdoa nescaya akan dimakbulkan untuknya. Apabila dia berwuduk nescaya diterima solatnya. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab at-Tahajjud, no: 1154.

Satu cara lagi untuk menghilangkan perasaan mengantuk adalah sebaik sahaja bangun dari tidur hendaklah kita mengusap wajah kita lalu membaca sepuluh ayat terakhir dari surah ‘Ali Imran.

Dari Ibnu ‘Abbas radhiallahu’ anh, dia berkata:

اسْتَيْقَظَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَجَعَلَ يَمْسَحُ النَّوْمَ عَنْ وَجْهِهِ بِيَدِهِ

ثُمَّ قَرَأَ الْعَشْرَ الآيَاتِ الْخَوَاتِمَ مِنْ سُورَةِ آلِ عِمْرَانَ.

Maksudnya:

Pernah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bangun tidur, lalu menghilangkan rasa mengantuk dengan cara mengusapkan tapak tangannya pada wajahnya. Baginda kemudiannya membaca sepuluh ayat terakhir surah ‘Ali Imran. – Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatil Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 763.

3. Solat Sunat Dua Rakaat Sebelum Megerjakan Solat Tahajjud

Hendaklah dikerjakan solat dua rakaat yang ringan sebelum memulakan solat Tahajjud. Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

إِذَا قَامَ أَحَدُكُمْ مِنْ اللَّيْلِ فَلْيَفْتَتِحْ صَلاَتَهُ بِرَكْعَتَيْنِ خَفِيفَتَيْنِ.

Maksudnya:

Jika salah seorang dari kalian ingin melaksanakan solat malam, maka hendaklah dia memulai solat malamnya dengan mengerjakan (solat) dua rakaat dengan agak cepat. – Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatil Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 768.

Al-Hafidz Ibnu Hajar rahimahullah berkata:

Al-Hafidz Abu al-Fadhl bin al-Husain menyebutkan dalam kitab Syarah al-Tirmidzi bahawa rahsia solat malam dimulai dengan dua rakaat yang ringan adalah untuk segera melepaskan ikatan syaitan. – Rujuk kitab al-Hafidz Ibnu Hajar al-’Asqalani, Fathul Baari jilid 6, ms. 273.

Pendapat di atas ini ada hubung-kaitnya dengan sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam:

يَعْقِدُ الشَّيْطَانُ عَلَى قَافِيَةِ رَأْسِ أَحَدِكُمْ إِذَا هُوَ نَامَ ثَلاَثَ عُقَدٍ.

يَضْرِبُ كُلَّ عُقْدَةٍ عَلَيْكَ لَيْلٌ طَوِيلٌ فَارْقُدْ. فَإِنْ اسْتَيْقَظَ فَذَكَرَ اللَّهَ انْحَلَّتْ عُقْدَةٌ.

فَإِنْ تَوَضَّأَ انْحَلَّتْ عُقْدَةٌ. فَإِنْ صَلَّى انْحَلَّتْ عُقْدَةٌ.

فَأَصْبَحَ نَشِيطًا طَيِّبَ النَّفْسِ وَإِلاَّ أَصْبَحَ خَبِيثَ النَّفْسِ كَسْلاَنَ.

Maksudnya:

Syaitan akan mengikat tengkuk salah seorang di antara kamu apabila kamu tidur dengan tiga ikatan. Ia menepukkan pada setiap ikatan; bagimu malam yang panjang maka tidurlah. Apabila kamu bangun dan berzikir kepada Allah maka terbukalah satu ikatan. Apabila kamu berwuduk maka terbuka pula satu ikatan. Apabila kamu bersolat terbukalah satu ikatan. Maka di pagi hari kamu akan bersemangat dan merasa segar. Jika tidak nescaya di pagi hari perasaannya buruk dan malas. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab at-Tahajjud, no: 1142.

Dari hadis ini dapat kita simpulkan bahawa ikatan ketiga itu hanya dapat dilepaskan setelah kita melakukan solat yang sempurna. Oleh itu solat dua rakaat sebelum solat Tahajjud memainkan peranan tersebut. Setelah itu dapatlah kita mengerjakan solat Tahhajud dengan penuh semangat dan kesegaran. Wallahu’alam.

4. Mengerjakannya Di Rumah

Adalah lebih utama sekiranya solat Tahajjud tersebut dilakukan di rumah sendiri dan bukan di masjid. Ini adalah kerana Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam biasa melakukan solat Tahajjud di rumahnya sendiri. Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

فَعَلَيْكُمْ بِالصَّلاَةِ فِي بُيُوتِكُمْ! فَإِنَّ خَيْرَ صَلاَةِ الْمَرْءِ فِي بَيْتِهِ إِلاَّ الصَّلاَةَ الْمَكْتُوبَةَ.

Maksudnya:

Hendaklah kalian solat di rumah kalian! Kerana sebaik-baik solat seseorang itu adalah di rumahnya kecuali solat wajib. – Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatil Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 781.

5. Membangunkan Ahli Keluarga Untuk Mengerjakan Solat Tahajjud

Hendaklah membangunkan ahli keluarga untuk mengerjakan solat Tahajjud. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

رَحِمَ اللَّهُ رَجُلاً قَامَ مِنْ اللَّيْلِ فَصَلَّى ثُمَّ أَيْقَظَ امْرَأَتَهُ فَصَلَّتْ.

فَإِنْ أَبَتْ نَضَحَ فِي وَجْهِهَا الْمَاءَ. وَرَحِمَ اللَّهُ امْرَأَةً قَامَتْ مِنْ اللَّيْلِ فَصَلَّتْ

ثُمَّ أَيْقَظَتْ زَوْجَهَا فَصَلَّى. فَإِنْ أَبَى نَضَحَتْ فِي وَجْهِهِ الْمَاءَ.

Maksudnya:

Semoga Allah merahmati seorang suami yang bangun pada waktu malam lalu solat; kemudian dia membangunkan isterinya lalu isterinya juga solat. Jika isterinya enggan maka si suaminya memercik wajah isteri dengan air. Semoga Allah merahmati seorang isteri yang bangun pada waktu malam lalu solat; kemudian dia membangunkan suaminya. Jika suaminya enggan maka si isterinya memercik wajah suami dengan air. – Hadis riwayat Imam al-Nasa’i dalam Sunannya, Kitab Qiyam al-Lail, no: 1592.

6. Boleh Mengeraskan atau Memperlahankan Bacaan

Diperbolehkan untuk mengeraskan (jahr) dan memperlahankan (sirr) bacaan ketika solat Tahajjud kerana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah membaca dengan kedua-dua cara tersebut.

Daripada ‘Abdullah bin Abi Qais, dia berkata:

سَأَلْتُ عَائِشَةَ عَنْ وِتْرِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَتْ …

كَيْفَ كَانَتْ قِرَاءَتُهُ أَكَانَ يُسِرُّ بِالْقِرَاءَةِ أَمْ يَجْهَرُ.

قَالَتْ: كُلَّ ذَلِكَ كَانَ يَفْعَلُ رُبَّمَا أَسَرَّ وَرُبَّمَا جَهَرَ…

Aku pernah bertanya kepada ‘Aisyah tentang solat Witir Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam …: Bagaimanakah bacaan Baginda ketika solat, adakah dengan suara keras atau suara yang perlahan?

Dia menjawab: Kesemua cara tersebut baginda amalkan, kadang-kadang dengan suara perlahan dan kadang-kadang dengan suara keras. – Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 1225.

Berkaitan dengan hal ini Imam al-Nawawi rahimahullah berkata:

Telah banyak dibawakan hadis-hadis yang menerangkan keutamaan mengeraskan suara dan hadis-hadis yang menjelaskan keutamaan merendahkan suara. Para ulamak berkata: Untuk menggabungkan antara keduanya boleh dikatakan bahawa suara perlahan lebih jauh dari perasaan riyak dan ini lebih utama bagi orang yang khuatir akan memiliki perasaan riyak, namun apabila dia tidak takut riyak maka suara keras itu lebih utama baginya dengan syarat tidak mengganggu orang lain yang sedang solat, tidur atau selainnya. – Dinukil dari Shahih Fiqh as-Sunnah wa Adillatuhu wa Taudhih Madzahib al-A’immah, jilid 1, ms. 647.

7. Memanjangkan Kadar Waktu Mengerjakan Solat Tahajjud

Hendaklah memanjangkan berdiri ketika solat iaitu dengan membaca surah yang panjang dan melamakan sujud tatkala solat Tahajjud. Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

أَفْضَلُ الصَّلاَةِ طُولُ الْقُنُوتِ.

Maksudnya:

Solat yang paling utama adalah solat yang paling lama berdirinya. Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatil Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 756.

Daripada ‘Abdullah ibnu Mas’ud radhiallahu’ anh, dia berkata:

صَلَّيْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْلَةً فَلَمْ يَزَلْ قَائِمًا حَتَّى هَمَمْتُ بِأَمْرِ سَوْءٍ.

قُلْنَا: وَمَا هَمَمْتَ. قَالَ: هَمَمْتُ أَنْ أَقْعُدَ وَأَذَرَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

Maksudnya:

Aku pernah solat bersama Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam pada suatu malam, baginda tetap sahaja berdiri hingga aku ingin melakukan perbuatan yang buruk. Kami bertanya: Apakah yang ingin kamu lakukan? Dia menjawab: Aku ingin duduk dan membiarkan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersolat sendirian. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Sahihnya, Kitab at-Tahajjud, no: 1135.

Menurut al-Hafidz Ibnu Hajar rahimahullah:

Dalam hadis di atas terdapat keterangan bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam memilih untuk memperpanjangkan solat malam. Ibnu Mas’ud adalah seorang yang kuat dan senantiasa mengikuti Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Tidak terdetik di dalam dirinya keinginan untuk duduk, melainkan kerana panjangnya solat tersebut melebihi kebiasaan yang beliau lakukan. – Rujuk kitab karya Al-Hafidz Ibnu Hajar al-’Asqalani, Fathul Baari, jilid 6, ms. 248.

Hendaklah juga membaca ayat-ayat al-Qur’an tersebut secara tartil dan suara yang bagus. Ini sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا

…dan bacalah Al-Quran dengan “Tartil” (secara perlahan-lahan). – al-Muzammil (73) : 4

Daripada Hafshah radhiallahu’ anha, dia berkata:

وَكَانَ يَقْرَأُ بِالسُّورَةِ فَيُرَتِّلُهَا حَتَّى تَكُونَ أَطْوَلَ مِنْ أَطْوَلَ مِنْهَا.

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ketika membaca surah (al-Qur’an) baginda membacanya dengan tartil hingga seakan-akan surah itu lebih panjang dari biasanya. – Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatil Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 736.

Disunnahkan juga membacanya dengan suara yang baik serta berlagu. Al-Bara’ bin ‘Azib radhiallahu’ anh berkata:

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَيِّنُوا الْقُرْآنَ بِأَصْوَاتِكُمْ

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Hiasilah (bacaan) al-Qur’an dengan suaramu. – Hadis riwayat Imam al-Nasa’i dalam Sunannya, Kitab al-Iftitah, no: 1005.

Menurut Abu Hurairah radhiallahu’ anh:

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَتَغَنَّ بِالْقُرْآنِ وَزَادَ غَيْرُهُ يَجْهَرُ بِهِ

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Tidaklah termasuk golongan kami orang yang tidak melagukan (bacaan) al-Qur’an. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Tawhid, no. 7527.

Ingin penulis ingatkan bahawa mereka yang membaca surah atau ayat dari al-Qur’an dengan laju dan tergesa-gesa adalah termasuk dalam golongan yang mengambil sikap sambil lewa dalam beribadah. Menurut Syaikh Sayyid Sabiq rahimahullah:

Bacaan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam itu ialah secara panjang (perlahan-lahan). Baginda berhenti pada setiap ayat dan memanjangkan suaranya.” – Syaikh Sayyid Sabiq, Fikih Sunnah, jilid 1, ms 338.

Namun demikian janganlah kita keterlaluan dalam melagukan bacaan al-Qur’an sehingga bertentangan dengan peraturan-peratutan (tajwid – pen) dalam membacanya. Syaikh Kamal al-Sayyid Salim berkata:

Maksud melagukan bacaan al-Qur’an adalah dengan membaguskan suaranya secara keras dan melantunkannya dengan nada yang lembut sehingga mempengaruhi jiwa dan dapat mengalirkan air mata dengan syarat tidak keluar dari aturan membaca yang benar menurut ahli Qira’at. Adapun bacaan yang meliuk-liuk dengan nyanyian yang di luar batasan sehingga menyebabkan keluar dari semestinya, maka jumhur ulamak tidak menyukainya (makruh). Wallahu a’lam. – rujuk Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim, Shahih Fiqh as-Sunnah wa Adillatuhu wa Taudhih Madzahib al-A’immah, jilid 1, ms. 645.

Hanya sahaja pendek atau panjangnya bacaan ketika solat bergantung kepada kemampuan masing-masing kerana Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah menetapkan bacaan tertentu untuk solat Tahajjud ini. Sekiranya tidak mampu menghafal surah yang panjang, memadailah dengan apa yang termampu untuk dibacakan. Dari Abi Sa’id radhiallahu’ anh, dia berkata:

أُمِرْنَا أَنْ نَقْرَأَ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ وَمَا تَيَسَّرَ.

Maksudnya:

Kami telah diperintah (oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam) supaya kami membaca al-Fatihah dan apa-apa (ayat/surah) yang mudah (bagi kami). – Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 695.

Dalil tentang memanjangkan sujud pula adalah sebagaimana yang telah diperjelaskan oleh ‘Aishah radhiallahu’ anha:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُصَلِّي إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً.

كَانَتْ تِلْكَ صَلاَتَهُ يَسْجُدُ السَّجْدَةَ مِنْ ذَلِكَ قَدْرَ مَا يَقْرَأُ أَحَدُكُمْ خَمْسِينَ آيَةً

قَبْلَ أَنْ يَرْفَعَ رَأْسَهُ.

Maksudnya:

Sesungguhnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam biasa solat (malam) sebelas rakaat, demikianlah solat yang baginda lakukan. Baginda melakukan satu kali sujud dari sebelas rakaat itu seperti lamanya seperti salah seorang dari kalian membaca lima puluh ayat sebelum baginda mengangkat kepalanya. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab at-Tahajjud, no: 1123.

Sujud tersebut dipanjangkan kerana baginda shallallahu ‘alaihi wasallam memperbanyakan doa ketika sujud. Ini sebagaimana sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam:

أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ.
Maksudnya:

Saat yang paling dekat bagi seorang hamba untuk berada di samping Tuhannya, ialah ketika dia sujud. Dari itu hendaklah kamu memperbanyakan doa ketika sujud itu. – Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-Sholaah, no: 482.

Demikianlah beberapa amalan yang sabit datangnya daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang sepatutnya kita berusaha untuk mencontohinya demi untuk mencapai kesempurnaan ketika mendirikan solat Tahajjud.

Kesungguhan Rasulullah Dalam Melaksanakan Solat Tahajjud

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam adalah seorang insan yang telah dijamin oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala akan masuk ke syurga. Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam juga merupakan sebaik-baik manusia malah digelar Sayyid al-Mursalin iaitu penghulu segala Rasul. Baginda merupakan seorang insan yang maksum dan bebas dari sebarang bentuk dosa. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

لِيَغْفِرَ لَكَ اللَّهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ وَيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكَ وَيَهْدِيَكَ صِرَاطًا مُسْتَقِيمًا

Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian, dan menyempurnakan nikmatNya kepadamu, serta menambahkanmu hidayah ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya). – al-Fath (48) : 2

Walaupun dengan kedudukan baginda shallallahu ‘alaihi wasallam yang sebegini sempurna tetapi baginda tetap bersungguh-sungguh dalam mengerjakan solat Tahajjud sehingga bengkak-bengkak kakinya. Isterinya ‘Aishah radhiallahu’ anha melihat sendiri kesungguhan luar biasa baginda ini dan beliau hairan kenapa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam masih ingin bersusah payah melakukan ibadah tersebut sedangkan dia adalah seorang yang maksum. Kisah ini telah disampaikan oleh ‘Aishah radhiallahu’ anha sendiri di dalam sebuah hadis:

أَنَّ نَبِيَّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُومُ مِنْ اللَّيْلِ حَتَّى تَتَفَطَّرَ قَدَمَاهُ.

فَقَالَتْ عَائِشَةُ: لِمَ تَصْنَعُ هَذَا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَقَدْ غَفَرَ اللَّهُ لَكَ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ.

قَالَ: أَفَلاَ أُحِبُّ أَنْ أَكُونَ عَبْدًا شَكُورًا.

Maksudnya:

Sungguh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam solat malam hingga kedua tapak kakinya merekah. ‘Aishah berkata kepada baginda: Mengapa engkau melakukan hal ini wahai Rasulullah, padahal Allah telah mengampuni dosa-dosamu yang telah lalu dan yang akan datang. Baginda bersabda: Apakah aku tidak ingin menjadi hamba yang sangat bersyukur? – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab Tafsir al-Qur’an, no: 4837.

Peristiwa yang sama juga telah dikhabarkan dari al-Mughirah radhiallahu’ anh, dia berkata:

إِنْ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيَقُومُ لِيُصَلِّيَ حَتَّى تَرِمُ قَدَمَاهُ أَوْ سَاقَاهُ.

فَيُقَالُ لَهُ فَيَقُولُ: أَفَلاَ أَكُونُ عَبْدًا شَكُورًا.

Maksudnya:

Sesungguhnya Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam biasa berdiri (untuk solat malam) hingga kedua kakinya atau kedua betisnya bengkak. Dikatakan kepadanya maka baginda bersabda: Apakah aku tidak ingin menjadi hamba yang bersyukur? – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab at-Tahajjud, no: 1130.

Sekarang kita bandingkan amalan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ini dengan diri kita sendiri yang bergelumang dengan dosa dan untung nasib kita di Hari Pengadilan juga belum dipastikan sama ada syurga atau neraka. Kenapa kita tidak mahu bersungguh-sungguh dalam melaksanakan solat Tahajjud ini? Adakah kita menganggap diri kita sebanding atau lebih baik daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam? Renungilah akan hal ini dengan mendalam wahai pembaca yang budiman.

Sumber: shafiqolbu, hafizfirdaus.com