“Pakcik Shell, saya takkan lupa apa yang pakcik dah buat pada saya dan anak saya…”

Siapa sangka sikap ramah dan sopan santun yang dimiliki seorang insan mampu menyentuh hati orang lain?

Pada kebiasaannya, bapa dan anak ini hanya melihat pekerja warga emas di stesen minyak Shell hanya dari jauh. Namun pada Aidilfitri tidak lama dulu, mereka memutuskan untuk menyapa pakcik tersebut dengan salam.

Namun apa yang dilakukan pakcik tersebut langsung tidak dijangka Ahmad Firdauz Abdullah Tahrin, 34, dan anak lelakinya, Ammar Matiin, tiga tahun.

Melalui perkongsiannya di laman Facebook, Firdauz menulis:

“Pakcik Shell, saya takkan lupa apa yang pakcik dah buat pada saya dah anak saya.”

“Pakcik dah sentuh hati kami, kami datang nak isi minyak. Kami sapa pakcik dan saya minta Matiin salam pakcik.”

“Tapi pakcik kata tak nak, pakcik cakap… “Eh, bukan pakciklah, (tapi) atuk.”

Namun apa yang berlaku selepas itu sangat mengejutkan Firdauz. Lelaki tua tersebut menghulurkan duit raya kepada anaknya, Matiin.

“Apa pakcik buat ni? Saya dah rasa nak menangis waktu itu juga. Pakcik menyentuh hati dan jiwa kami.”

“Pakcik mengajar kami erti hormati menghormati, erti memberi dari hati. Terima kasih Pakcik Shell (Taman Perling), pertemuan ringkas, tapi penuh bererti,” luah Firdauz di Facebook.

Perkongsian menyentuh hati ini telah mendapat perhatian Mstar yang seterusnya menghubungi Firdauz, seorang Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Pekan Nanas, Pontian.

Menurut Firdauz, pertemuannya dengan pekerja Shell yang dikenali Pakcik Hassan itu selepas dia sekeluarga pulang dari bercuti hari raya tidak lama dulu. Dia sejujurnya tidak mengenali siapa Pakcik Hassan, namun keperibadian lelaki tua tersebut patut menjadi contoh buat semua.

Malah Firdauz sekali lagi meluangkan masa pada Isnin lepas untuk kembali bertemu dengan pekerja warga emas tersebut. Sungguhpun tidak banyak yang mereka bualkan, namun Firdauz diberitahu, Pakcik Hassan mempunyai lapan orang anak dan enam cucu.

Pakcik Hassan ataupun nama penuhnya, Hassan Basri Mohd Tara bukanlah seperti yang disangkakan. Lelaki warga emas yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-70 pada 24 Julai ini, pernah melakukan pelbagai pekerjaan sebelum ini demi menyara kehidupannya bersama isteri dan anak-anak, lapor Mstar.

Pada usia 18 tahun, Pakcik Hassan sudah mula bekerja di kilang dan menjual telur di pasar malam untuk mencari pendapatan sampingan. Kedua-dua pekerjaan ini sudah dilakukannya hampir 30 tahun.

Selain itu, dia juga mengusahakan gerai makanan selama enam tahun dan pernah menjadi tukang kebun di sebuah sekolah selama tiga tahun. Pakcik Hassan mula bertugas di Shell pada tahun 2011 lalu. Wah otailah pakcik ni!

“Dulu orang panggil saya Pak Hassan Telur masa jual telur, bila jadi tukang kebun dipanggil Pak Hassan Bunga, sekarang orang panggil Pakcik Shell pula,” katanya ketika ditemuramah Mstar.

Pakcik Hassan tidak betah duduk diam di rumah. Katanya, dia mahu bekerja supaya badan jadi cergas dan kuat meskipun sudah ditegur anak-anaknya yang melarang dia bekerja lagi pada usia lanjut dan berehat saja di rumah.

Malah menurut Firdauz, Pakcik Hassanlah calon sesuai dijadikan model di stesen minyak Shell berdasarkan keperibadiannya yang menginsipirasi orang ramai dari gadis Shell yang terpalit dengan pelbagai kontroversi buruk. Ada betul juga tu kan!

Sumber: lobakmerah