Inilah 5 Doa Dalam Al-Quran Untuk Memohon Zuriat Keturunan Yang Soleh

Al-Quran kitabullah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW ini adalah satu panduan lengkap atau ‘kit’ yang perlu dibawa ke mana-mana oleh setiap umat Islam dalam menjalani kehidupan seharian. Jika ‘kit’ keselamatan atau kesihatan kita sanggup dan boleh usung ke hulur hilir sebagai persediaan jika ditimpa apa jua musibah, mengapa tidak Al-Quran?

Tahukah kita, selain kisah umat-umat terdahulu yang diceritakan sebagai pengajaran buat umat terkemudian, dalam Al-Quran juga terdapat banyak doa yang boleh kita amalkan. Persoalannya, untuk apa berdoa?

Doa adalah satu tanda kehambaan kita kepada sang Khaliq; pemilik alam ini. Dia yang memegang segala acuan kehidupan kita dan kepada Dia-lah kita patut jadikan sandaran mahupun rujukan sama ada ketika senang mahupun susah.

Berikut dikongsikan beberapa doa dari Al-Quran yang boleh diamalkan oleh ibu bapa untuk memohon zuriat keturunan yang soleh dan solehah.

#1 – Surah Ali Imran ayat 38

“Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepada-Ku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik. Sesungguhnya, Engkau sentiasa mendengar (menerima) doa permohonan.”

Ini adalah doa Nabi Zakaria yang memohon kepada Allah SWT agar dikurniakan zuriat yang baik untuk kelangsungan dakwahnya.

#2 – Surah Ibrahim ayat 40

“Wahai Tuhanku! Jadikanlah aku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Ini adalah salah satu doa Nabi Ibrahim agar dipelihara zuriat keturunannya.

#3 – Surah Al-Furqan ayat 74

“Wahai Tuhan kami, berilah Kami dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyenangkan hati melihatnya, dan jadikanlah Kami pemimpin ikutan bagi orang-orang yang bertakwa.”

Ini adalah doa untuk memohon kebaikan daripada anak dan isteri.

#4 – Surah As-Saffat ayat 100

“Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak dari kalangan orang-orang yang soleh.”

Ini adalah doa permohonan Nabi Ibrahim a.s kepada Allah SWT agar dikurniakan zuriat keturunan. Selama bertahun-tahun, Nabi Ibrahim a.s sabar menanti dan akhirnya, Baginda dikurniakan anak dari Hajar iaitu Nabi Ismail dan Nabi Ishaq dari isteri pertamanya; Sarah sekalipun usianya sudah begitu lanjut ketika itu.

#5 – Surah al-Ahqaf ayat 15

“Wahai Tuhanku, ilhamkanlah aku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada kedua ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya, aku bertaubat kepada-Mu, dan sesungguhnya aku dari kalangan orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepada-Mu).”

Semoga dengan melazimi doa ini dapat menjadikan diri kita dan zuriat keturunan agar menjadi Muslim yang diredhai oleh Allah SWT sehingga akhir kehidupan kelak.

Doa ibu bapa adalah doa yang mudah untuk dimakbulkan. Oleh itu, para ibu bapa sewajarnya mengambil peluang ini untuk mendoakan kebaikan dan kesejahteraan buat anak-anak yang menjadi ‘amanah’ buat mereka.

Sesungguhnya, orang yang berdoa akan dikasihi oleh Allah SWT kerana dia menyedari tentang kedudukan dirinya sebagai hamba Allah SWT yang mengharapkan bantuan dari yang Maha Kuasa atas segala-galanya. Doa juga sebagai tali penghubung antara kita dengan Allah.

Mintalah kepada-Nya, pasti didengarinya. Cepat atau lambat dimakbullkan biarlah menjadi urusan-Nya, apa yang pasti sebagai hamba-Nya jangan berhenti berharap atau berdoa kepada-Nya dan jangan sesekali menyekutukannya dengan apa jua sekalipun dengan berharap pada makhluk yang lain. Wallahua’lam.

*Rujuk Al-Quran untuk bacaan dalam Jawi.

Sumber: Tazkirah.net