9 Amalan Sunat Hari Jumaat Yang Sangat Digalakkan. Rebutlah Peluang Pahala Ini

Berikut 9 amalan paling utama dan hebat keuntungannya bagi mereka yang mengamalkannya. Bergembira dan berbahagialah bagi mereka yang bersungguh-sungguh meraih keuntungan padanya dan amatlah ruginya mereka yang mengabaikannya!

AMALAN 1: Memotong Kuku

Sebelum menunaikan fardu Jumaat, kita disunatkan mandi walaupun waktu solat telah hampir. Disunatkan juga mencukur kepala, memotong kuku, memendekkan misai, memakai wangi-wangian dan mengenakan pakaian yang sebaik-baiknya. Ibnu Masud berkata, “Sesiapa yang memotong kuku pada hari Jumaat, Allah akan menyembuhkannya daripada penyakit dan memberikannya keselamatan.”

AMALAN 2: Membaca Surah Ali-Imran

Sabda Nabi s.a.w. yangb bermaksud: “Sesiapa yang membaca surah Ali Imran pada hari Jumaat, maka Allah dan malaikat mendo’akan kebaikan ke atasnya sehingga matahari terbenam pada hari itu.”

AMALAN 3. Membaca Surah Al-Kahfi

Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abi Said Al-Khudri yang bermaksud: “Sesiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, Allah menerangi hidupnya antara dua Jumaat.”

AMALAN 4. Mengucapkan Selawat Ke atas Nabi s.a.w.

Berselawat sekali ke atas Nabi, Allah Taala memberi rahmat 10 kali ganda. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksid: “Perbanyakkanlah membaca selawat padaku pada malam dan hari Jumaat, maka siapa yang membaca selawat untukku satu kali, Allah akan berselawat kepadanya 10 kali (Allah akan memberinya rahmat 10 kali)”.

AMALAN 5. Membaca Yassin

Sesiapa membaca surah Yassin pada malam Jumaat, Allah mengampunkan dosa kecil yang dilakukan, demikian menurut hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abi Hurairah

AMALAN 6. Mandi Sunat Jumaat

Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Abi Khatadah, bermaksud: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat seolah-olah dirinya bersih hingga Jumaat akan datang.” Dan sebuah hadith daripada Ibnu Umar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: Jika seseorang antara kalian mendatangi solat Jumaat, maka hendaklah mandi dulu. (Muttafaq alaih)

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: Sesiapa yang berwuduk pada Jumaat, maka dengan keringanan itu, bolehlah dilakukan tanpa mandi tetapi mandi itu adalah lebih utama. (HR.Imam Abu Daud dan Tarmidzi).

AMALAN 7. Solat Jumaat

Mereka yang mendirikan solat Jumaat antara satu Jumaat ke satu Jumaat berikutnya, maka Allah mengkifaratkan atau mengelakkan dia daripada terbabit dosa besar. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta. Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu. Barang siapa yang menghadiri solat Jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban seekor kibas. Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat keempat, dia seperti memberi hadiah seekor ibu ayam, dan sesiapa hadir solat pada saat kelima, dia seolah-olah memberi hadiah sebiji telur. Apabila imam naik ke mimbar, malaikat menutup buku catatannya dan ikut mendengar khutbah. Justeru, sesiapa yang datang untuk solat selepas itu seolah-olah dia hanya datang untuk solat semata-mata, tidak direkodkan dalam buku kehadiran malaikat.”

AMALAN 8. Berdoa Bersungguh-sungguh

Majoriti ulama’ berpendapat bahawa makbulnya do’a yang dibaca di antara dua khutbah, iaitu ketika imam sedang duduk antara khutbah pertama dan khutbah kedua. Ibnu Qayyim Al-Jauzi mengatakan: Di antara sekian banyak pendapat ada dua yang paling kuat, sebagaimana ditunjukkan dalam banyak hadis yang sahih, pertama saat duduknya khatib sampai selesainya solat. Kedua, sesudah Asar. Pada hari itu terdapat suatu masa di mana seorang hamba Mukmin apabila meminta (berdo’a) kepada Allah sesuatu kebaikan melainkan Allah memakbulkan do’anya atau ia meminta Allah melindunginya daripada sesuatu kejahatan melainkan Allah melindunginya daripada kejahatan. (HR.At-Tirmidzi).

AMALAN 9. Banyakkan Bersedekah

Sedekah pada hari itu lebih utama dibanding sedekah pada hari-hari lainnya. Ibnu Qayyim berkata: Sedekah pada hari itu lebih utama dengan sedekah pada enam hari lainnya seumpama di sedekah pada bulan Ramadhan dibanding bulan-bulan lainnya. Hadis dari Kaâab menjelaskan: Dan Sedekah pada hari itu lebih mulia dibanding hari-hari selainnya.

Moga hari Jumaat kali ini lebih banyak manafaat dan keberuntungan yang kita dapat berbanding hari-hari Jumaat yang sebelum ini. Semoga melalui usaha yang sedikit ini kita diberikan pahala yang berpanjangan dan kehidupan yang lebih tenang, inshaaAllah.

Video penuh berkenaan amalan hari jumaat boleh ditonton di video dibawah:

Sumber : Muahciked